KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meletakkan sasaran kutipan lebih tinggi berbanding tahun sebelum iaitu daripada RM768 juta pada 2020 kepada lebih RM800 juta tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee memaklumkan sasaran itu selaras prestasi memberangsangkan ditunjukkan pada tahun lalu yang menyaksikan kutipan zakat agensi itu mencatat peningkatan kira-kira 12 peratus berbanding RM682 juta pada 2019.

Selain itu, katanya, PPZ-MAIWP juga menyasarkan peningkatan pembayar zakat kepada sekurang-kurangnya 500,000 tahun ini, berbanding 300,000 pada tahun lalu.

"Saya yakin di Wilayah Persekutuan, ada kira-kira 800,000 individu dan pihak yang boleh membayar zakat, cuma masalahnya kita tidak mendekati mereka, jadi kita kena turun padang dan beri penerangan kepada mereka.

"Insya-Allah, tahun ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 pembayar zakat berbanding 300,000 orang tahun lepas.

"Sementara kutipan zakat adalah RM800 juta ke atas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya lagi, PPZ-MAIWP akan mendekati kalangan ahli korporat dan pemilik syarikat besar bagi sesi penerangan mengenai tanggungjawab berzakat.

Tindakan itu sekali gus memberi kefahaman tentang potongan zakat sebanyak 2.5 peratus dalam kalangan pekerja Islam, jelasnya.

"Contohnya saya pergi sebuah agensi, yang membayar zakat hanya 1,000 orang sedangkan yang boleh membayar lebih 7,000 orang.

"Jadi tanggung jawab sebagai pemimpin dalam agensi itu adalah perlu memastikan setiap orang Islam membayar zakat, kena buat potongan kerana mereka bergaji tetap, pada saya tiada masalah untuk dilaksanakan," ujar Syed Ali.

Dalam pada itu, pelancaran identiti korporat baharu itu selaras dengan pemodenan serta serta semangat untuk menjadikan PPZ-MAIWP sebagai institusi zakat yang maju dan menjadi model contoh di dunia.

"Wajah baharu ini dilengkapi susun atur dalaman bagi menggalakkan keyakinan dan keselesaan pelanggan yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua cawangan pada tahun ini.

Syed Ali menambah identiti korporat baharu ini diharapkan mampu menjadikan PPZ-MAIWP cemerlang dan kakitangan terus berusaha untuk memastikan peningkatan pembayar zakat.