Pakatan Rakyat (PR) meneruskan perhimpunan pasca Pilihan Raya Umum ke-13 yang digelar Suara Rakyat Suara Keramat yang berlangsung malam ini meskipun tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Ribuan berkumpul di Stadium Bola Sepak Kelana Jaya meskipun cuaca hujan bagi mendengar ucapan pemimpin PR, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Oleh kerana Pakatan Rakyat menang, saya tidak akan undur kerana hormatkan rakyat," kata Anwar.

Anwar menegaskan beliau tidak akan berundur daripada politik seperti janjinya sebelum ini jika Pakatan Rakyat kalah dalam pilihan raya dan gagal membentuk kerajaan di Putrajaya.

Katanya, ini kerana keputusan pilihan raya Ahad lalu menunjukkan Pakatan Rakyat menang apabila mendapat peratusan undi yang lebih besar daripada Barisan Nasional.

Anwar mengingatkan rakyat supaya jangan terpengaruh dengan cubaan melaga-lagakan rakyat dengan membangkitkan isu berbaur perkauman.

Tegas beliau, perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat yang dihadiri oleh pelbagai kaum adalah bukti bahawa Pakatan Rakyat mendapat sokongan semua rakyat, dan bukannya orang Cina saja.

Anwar turut menyeru agar semua memakai baju berwarna hitam Sabtu ini sebagai bantahan selain mengumumkan satu lagi perhimpunan seumpamanya akan diadakan di Pulau Pinang pada hari yang sama.

Sementara itu kesesakan lalulintas turut dilaporkan berlaku di jalan-jalan menuju ke lokasi perhimpunan.

Perhimpunan malam ini dianjurkan bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa diselubungi penyelewengan dan penipuan.

Polis sebelum ini menjelaskan perhimpunan yang dirancang pembangkang merupakan satu perhimpunan haram berikutan penganjur tidak membuat sebarang permohonan kepada polis.

Penganjur perhimpunan turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang selain menggunakan saluran betul dengan meminta kebenaran ketua polis daerah berkenaan.

Dalam pada itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata sebarang bantahan terbuka atau perhimpunan tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya umum atau mengakibatkan ia diadakan semula.

Beliau berkata sebaliknya calon atau mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR.