Tidak banyak yang dijangka berubah dalam pimpinan Pakatan Rakyat selepas ketiadaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, ini kerana setiap entiti parti dalam parti gabungan itu hanya mahu berjuang mengikut kelompok berasaskan kepentingan kaum masing-masing.

“Tidak ada sebab untuk mengharapkan apa-apa perbezaan dalam hala tuju perjuangan Pakatan Rakyat selepas pemergian Nik Aziz.

“Hakikatnya, antara DAP dan PAS sendiri sehingga kini masih belum dapat mencapai satu persetujuan tentang platform gabungan mereka.

“PAS lebih condong untuk orang Melayu dan agenda Islam manakala DAP masih menumpukan kepada kaum Cina. Itu sudah sekian lama berlaku dan nampaknya tiada apa-apa perubahan,” ujar Khoo.

Tambahan lagi, menurut Khoo, keadaan tersebut menjadi rumit kerana rakyat Malaysia sendiri secara keseluruhannya hanya mengikuti politik berpaksikan isu-isu melibatkan sentimen serta survival kaum tertentu.

Khoo berkata, negara ini memerlukan generasi politik yang baharu untuk menggantikan barisan pejuang politik yang ada sekarang ini, namun usaha ke arah itu juga sangat mencabar.

Menurutnya, generasi sekarang ini yang sepatutnya menjadi pelapis tidak banyak yang mendalami situasi politik negara, bahkan ada yang tidak faham langsung dan hanya terikut-ikut.

Khoo mempunyai pendapat tentang keadaan yang menjadi sebegitu rupa.

“Kalau berbalik kepada pengisian sistem pendidikan sahaja, kita ini terlalu hendak mengutamakan subjek sains, matematik dan teknologi.

“Sedangkan generasi muda harus memberi tumpuan dan penekanan dalam bidang kemasyarakatan serta sosiobudaya. Itu kekurangan mereka,” jelas Kay Kim.

Beliau merumus, selagi kekangan tersebut tidak dapat diatasi atau sekurang-kurangnya diseimbangkan, tiada cara mudah untuk mencari jalan tengah dalam menyatukan hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini, termasuklah menangani permasalahan yang wujud antara parti-parti politik gabungan.


Solidariti tanpa sengaja

Sementara itu, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Aziz pula menyifatkan kehadiran puluhan ribu orang yang memberi penghormatan terakhir kepada Nik Aziz sebagai sebuah perhimpunan solidariti tanpa sengaja.

“Ia perlu dilihat sebagai satu petanda positif buat PAS,” ujar beliau.

Tambah Abdul Rahman, banyak pihak akan mengharapkan agar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat membuat perubahan atau pendekatan baharu dalam menggalas tanggungjawab, khususnya terhadap hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

“Jika selama ini penerimaan terhadap Abdul Hadi tidak begitu affirmative kerana faktor usia dan pengalaman dalam berpolitik, saya merasakan beliau boleh mengubah persepsi tersebut selepas ketiadaan Nik Aziz,” jelas Abdul Rahman.

Tambah beliau, ikatan antara entiti Pakatan Rakyat sebenarnya akan menjadi lebih kuat jika kena pada caranya.

“Parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat sebenarnya mengakui bahawa dari aspek tertentu, seperti untuk meraih undi, mereka bergantung kepada PAS. PAS mempunyai rekod bersih dalam imej Islamik yang dibawanya.

“Saya berpendapat pemimpin-pemimpin daripada DAP dan PKR sebenarnya menghormati PAS. Cuma dalam isu tertentu, seperti ketika pemimpin DAP berdepan dengan pengundi Cina, mereka akan cuba untuk tidak memberi penekanan terhadap hal-hal berkaitan keagamaan,” ujar Abdul Rahman.

Dari segi ketokohan kepimpinan pelapis, Abdul Rahman melihat barisan muda pemimpin dalam PAS termasuk anak Nik Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam arena politik.

“Mereka itu masih berpolitik dalam lingkungan isu dan sentimen yang ada di negeri Kelantan dan belum cukup pendedahan untuk menangani isu-isu bersifat nasional.

"Mereka agak mudah berpuas hati dengan keadaan negeri mereka sahaja dan itu tidak cukup untuk melonjakkan kewibawaan mereka ke peringkat selanjutnya,” ujar beliau yang menambah, ada sesetengah pemimpin PAS yang berkebolehan, namun lebih kepada tokoh akademik dan bukannya sebagai ahli politik.