TANGKAK: Kerajaan mengingatkan sektor perindustrian untuk tidak leka dan kekal mengambil langkah pengawalan di tempat kerja dalam memastikan sektor itu terus beroperasi ketika kes COVID-19 mula menunjukkan peningkatan mendadak.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif safe@work yang memerlukan majikan menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif untuk pekerja juga perlu kekal dipraktis.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana sektor industri terpaksa ditutup sehingga menjejaskan ekonomi negara.

“Kita juga dapat memperkenalkan mekanisme baru yang dipanggil safe@work supaya diwujudkan bubble tempat penginapan pekerja ke lokasi kilang dan fasiliti berkenaan, sekiranya ada.

“(Peningkatan) kes baharu, tiada keperluan untuk kita menutup keseluruhan kemudahan ini malahan pekerja berkenaan akan diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya. Ini dapat memastikan aktiviti perniagaan diteruskan ketiga kita menggalakkan syarikat dan industri meneruskan usaha pemeriksaan membuat ujian berkala supaya pekerja yang hadir sihat dilindungi dan tidak berlaku keadaan dimana kita terpaksa tutup operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang ST Microelectronics di Tangkak, pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, penutupan sementara sektor industri perkilangan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi negara, malahan peringkat global kerana syarikat industri tempatan merupakan antara pembekal utama beberapa rantaian.

Katanya, ia membuktikan industri tempatan amat penting dan memaksa pemain industri untuk memperkasa tanggungjawab dalam memastikan kesihatan pekerja terjamin supaya tiada lagi situasi dimana kilang-kilang terpaksa menghentikan operasi sementara kerana penularan COVID-19.