KUALA LUMPUR: Lima langkah jangka pendek dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad bagi menambah baik secara sistematik prosedur dan garis panduan operasi oleh Prasarana dan anak syarikatnya, Rapid Rail Sdn Bhd, yang bertanggungjawab mengendalikan Laluan Kelana Jaya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, antara langkah jangka pendek yang dilaksanakan adalah penetapan dua 'hostler' (pemandu) bagi mengendalikan tren secara manual ketika di dalam terowong.

“Peranan hostler kedua adalah sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan (Safety & Compliance Officer).

“Selain itu, lampu suluh berkuasa tinggi dibekalkan kepada Hostler untuk memudahkan tugas mereka ketika di dalam terowong.

“Juga, penyediaan senarai semak (checklist) untuk kegunaan dan panduan kepada hostler serta pusat kawalan operasi (OCC) dalam mengendalikan tren secara manual ketika situasi kritikal,” ujarnya dalam satu sidang media pada Khamis.

BACA: Fasa 2 PPN: Prasarana tingkat kekerapan tren, utamakan pematuhan SOP 

Sementara itu, Ka Siong memaklumkan bahawa Prasarana turut menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan (Sighting Committee) untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan.

“Dalam pada itu, Jawatankuasa Keselamatan turut ditubuhkan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail bagi tujuan semakan serta pemantauan,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Kompleks Rapid Rail Subang dan diberi taklimat terkini mengenai pelaksanaan 23 cadangan yang disediakan di dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pengangkutan.

Pada masa sama, Rapid Rail juga melaporkan kemajuan yang baik dalam pelaksanaan 11 langkah jangka sederhana yang perlu dilaksanakan dalam masa tiga ke enam bulan.

“73 peratus daripada kerja-kerja berkaitan telahpun selesai dan dijangka dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan, iaitu 9 Disember,” kata Ka Siong lagi.

Pada 24 Mei lalu, Prasarana dikejutkan dengan satu kemalangan tragik di mana ramai penumpang telah cedera dan menyebabkan gangguan perkhidmatan pengangkutan awam yang digunakan oleh orang ramai.