Wargakerja Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) diingatkan untuk menolak apa jua hadiah atau ganjaran yang ditawarkan oleh pihak ketiga kepada mereka.

Peringatan itu dibuat selaras dengan ‘Dasar Tidak Menerima Hadiah’ kumpulan itu dan akan dikuatkuasakan serta merta.

Staf Prasarana merangkumi kakitangan Rapid Rail Sdn Bhd, Rapid Bus Sdn Bhd, PRIME dan PRIDE serta staf dan pegawai ibu pejabat.

“Kumpulan Prasarana menjunjung nilai-nilai integriti dan amanah dalam semua urusannya. Sejajar dengan itu, Kumpulan Prasarana ingin mengumumkan bahawa ia berpegang teguh kepada ‘Dasar Tidak Menerima Hadiah’ sebagaimana yang termaktub di dalam Kod Etikanya,” kata jurucakap Prasarana Haliza Abd Hamid.

Peringatan itu turut disiarkan melalui iklan di akhbar-akhbar utama dan pengumuman itu dibuat ketika umat Islam di seluruh negara menjalankan ibadat puasa Ramadan.

Tempoh ini juga menandakan bermulanya persiapan Hari Raya Aidil Fitri dan amalan pemberian hadiah dan bingkisan Hari Raya menjadi satu kebiasaan.

Mengikut Kod Etika Prasarana, kumpulan itu “tidak membenarkan wargakerjanya meminta, menerima, dan memberi hadiah, menawar keistimewaan atau konsesi, keraian atau pertolongan daripada/kepada pelanggan atau pengguna, bakal pelanggan atau pengguna, kontraktor dan pembekal atau bakal kontraktor dan pembekal barang dan perkhidmatan, atau mana-mana pihak mempunyai urusan perniagaan dengan Prasarana kerana ini memprejudis kebebasan pertimbangan wargakerjanya.”

Kod kedua adalah Kod Etika Pembekal Kumpulan Prasarana, yang menyatakan para pembekal mereka tidak dibenarkan menawar atau memberi apa-apa hadiah sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana wargakerja Kumpulan Prasarana.

“Dalam keadaan yang sama, pembekal juga tidak dibenarkan menawar atau memberi apa-apa hadiah secara langsung atau tidak langsung kepada ahli keluarga wargakerja Kumpulan Prasarana,” jelas kod berkenaan.