KUALA LUMPUR: Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan atas pelbagai terhadap premis makanan dan minuman serta Pusat Penjaja Makanan Statik di sekitar ibu negara dalam Operasi Sepadu Bersih, pada Rabu.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebuah premis turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Katanya, operasi dijalankan di sekitar Titiwangsa, Kepong, Wangsa Maju, Cheras dan Bandar Tun Razak.

"Sejumlah 62 premis telah dilawati dan 20 daripadanya adalah pusat penjaja, namun 30 premis tidak beroperasi dan hanya 32 sahaja premis diperiksa.

"Hasil daripada pemeriksaan, sebuah premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 58 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Pelesenan Penjaja WPKL 2016.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah menjalankan perniagaan tanpa lesen, gagal dapatkan suntikan tifoid, perangkap minyak tidak diselenggara, lantai dan dinding dapur kotor, hurungan lipas dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

DBKL berkata, operasi dijalankan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mazlan Daham dengan kekuatan 46 anggota dan kakitangan.