Presiden ANGKASA ketuai delegasi Malaysia ke ICA-AP di Sri Lanka, bawa misi pertahan jawatan

Menurut ANGKASA, kehadiran Abdul Fattah turut membawa misi penting mempertahankan jawatan beliau sebagai Naib Presiden ICA-AP dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP pada 27 Nov. - Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah mengetuai 85 delegasi Malaysia ke Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) 2025 ke-17 di Colombo, Sri Lanka dari 24 hingga 28 Nov ini.
ANGKASA dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi itu disertai dua agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) serta 13 koperasi yang terlibat dalam pelbagai sektor strategik sebagai langkah signifikan memperluas kerjasama teknikal, pembentukan dasar dan jaringan perdagangan antara negara anggota Asia Pasifik.
Menurut kenyataan itu, perhimpunan dwitahunan anjuran ICA-AP berkenaan dianjurkan dengan kerjasama National Co-operative Council of Sri Lanka (NCCSL) selaku tuan rumah rasmi dan menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin koperasi, pembuat dasar serta tokoh akademik daripada lebih 30 negara.
Delegasi Malaysia dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi pleno, dialog dasar, seminar tematik dan perbincangan strategik yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan koperasi.
"Antara acara penting yang akan disertai delegasi Malaysia termasuk Persidangan Penyelidikan ICA-AP Kali ke-19, Bengkel Penyelidik Muda dan Penyelidik Baharu, Perbincangan Meja Bulat anjuran Platform Pembangunan Koperasi Asia Pasifik (APCDP), Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP dan Mesyuarat Majlis Malaysian Business Office (MBO) yang turut diadakan bagi menyelaras isu keahlian, yuran, hubungan antarabangsa dan penyertaan negara-negara anggota," menurut kenyataan itu.
ANGKASA memaklumkan delegasi Malaysia juga akan terlibat aktif dalam mesyuarat sektoral ICA-AP merangkumi Mesyuarat Jawatankuasa Pertanian dan Alam Sekitar (ICAE), Mesyuarat Jawatankuasa Kredit dan Perbankan, Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Pengguna serta Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Belia (ICYC) dengan keempat-empat sesi itu turut merangkumi proses pemilihan jawatankuasa baharu bagi penggal seterusnya.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Wanita, Mesyuarat Jawatankuasa Koperasi Institusi Pendidikan (ICEI), Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan serta beberapa seminar tematik turut diadakan untuk mengukuhkan perkongsian dasar dan kerjasama teknikal antara negara anggota.
Delegasi Malaysia juga akan berada dalam beberapa sesi utama perhimpunan termasuk Majlis Pembukaan Bersama Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 dan Forum Koperasi ke-12, Sesi Pleno Pembukaan bertemakan Cooperatives as Catalysts for Better Future serta tiga sesi perbincangan paralel berkaitan pembiayaan koperasi, dasar progresif dan penjenamaan koperasi.
Delegasi turut dijadualkan menghadiri Majlis Anugerah Asia Pacific Cooperative Excellence Awards 2025 yang meraikan pencapaian koperasi cemerlang di rantau ini.
Sementara itu, menurut ANGKASA, kehadiran Abdul Fattah turut membawa misi penting mempertahankan jawatan beliau sebagai Naib Presiden ICA-AP dalam sesi pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP pada 27 Nov.
Kenyataan itu memaklumkan sejak dipilih sebagai Naib Presiden ICA-AP pada pemilihan lepas, Abdul Fattah membawa suara gerakan koperasi Malaysia ke peringkat lebih tinggi melalui penyertaan aktif dalam mesyuarat serantau serta sesi libat urus bersama negara anggota.
"Beliau turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju koperasi serantau yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus pembangunan koperasi termasuk belia serta agenda pemerkasaan wanita," menurut kenyataan itu.
Abdul Fattah turut dijadualkan menghadiri beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin koperasi dari negara Asia Pasifik bagi meneroka ruang kerjasama dalam pelbagai sektor berimpak tinggi seperti pertanian moden, pembangunan produk halal, ekonomi komuniti dan kewangan koperasi.
Abdul Fattah dalam kenyataan sama berkata penyertaan Malaysia dalam persidangan itu amat penting bagi memastikan suara gerakan koperasi Malaysia terus didengari dalam pembentukan dasar serantau.
Beliau menegaskan Malaysia perlu memainkan peranan yang aktif kerana rantau Asia Pasifik sedang berdepan perubahan ekonomi yang besar yang memerlukan model pembangunan yang lebih inklusif dan berpaksikan kepentingan masyarakat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


