MALAYSIA
Presiden Guinea-Bissau tamat lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia

Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo diberikan upacara pelepasan permaidani merah di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia hari ini.
Ringkasan AI
- Upacara pelepasan rasmi: Presiden Embalo menamatkan lawatan tiga harinya dengan upacara permaidani merah dan kawalan kehormatan di KLIA sebelum berlepas ke destinasi seterusnya.
- Pengukuhan hubungan dua hala: Malaysia dan Guinea-Bissau menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama dalam industri halal, kewangan Islam, tenaga dan pembinaan kapasiti.
- Malaysia sebagai pintu masuk ke Afrika: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Guinea-Bissau sebagai laluan strategik bagi Malaysia untuk memperluaskan kehadiran di benua Afrika, membuka peluang perdagangan dan pelaburan.
Pesawat khas yang membawa delegasi dari Guinea-Bissau itu berlepas pada 11.55 pagi.
Semalam Malaysia dan Guinea-Bissau meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan bidang tumpuan termasuk industri halal, kewangan Islam, tenaga dan pembinaan kapasiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Embalo, menekankan hubungan diplomatik Embalo yang kukuh dengan kuasa global utama, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Afrika.
Anwar turut menyifatkan hubungan Malaysia dengan Guinea-Bissau sebagai pintu masuk strategik untuk meluaskan kehadiran negara di seluruh benua Afrika, meletakkan negara di Afrika Barat itu sebagai laluan penting untuk perdagangan, pelaburan dan penglibatan diplomatik.
Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia, Presiden Embalo meluangkan masa meninjau keindahan persekitaran pusat pentadbiran negara Putrajaya dengan menaiki Cruise Tasik Putrajaya semalam, di samping melawat Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.
Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal mesra, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM4.04 juta manakala import bernilai RM0.06 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami