MALAYSIA
Presiden Republik Kyrgyz akan lawat Malaysia untuk perkukuh kerjasama dua hala

Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia mulai Selasa. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia mulai Selasa, dan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.
Ringkasan AI
- Presiden Kyrgyz Sadyr Zhaparov akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai 25 Jun untuk bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
- Perbincangan akan melibatkan kerjasama dalam perdagangan, tenaga hijau, halal, pendidikan dan pelaburan.
- Lawatan ini sebagai balasan kunjungan Anwar ke Kyrgyz dan mencerminkan hubungan erat sejak 1992.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
"Lawatan ini mencerminkan hubungan mesra antara Malaysia dan Republik Kyrgyz yang berasaskan prinsip saling menghormati dan kerjasama rapat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1992," menurut kenyataan Kementerian Luar.
Bagi menghargai lawatan Zhaparov dan delegasinya, Anwar akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Makan Tengah Hari rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Presiden Republik Kyrgyz itu turut dijadualkan mengadakan lawatan singkat ke Parlimen Malaysia.
Ini merupakan lawatan sulung Zhaparov ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari 2021. Lawatan ini adalah sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024. Presiden akan diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar Zheenbek Kulubaev dan pegawai kanan kerajaan.
Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (US$8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke Republik Kyrgyz termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan alat ganti, manakala import utama dari Republik Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami