MALAYSIA
Presiden Kyrgyz Sadyr Zhaparov tiba di Malaysia untuk lawatan dua hari

Pesawat khas yang membawa Zhaparov dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 6.45 petang. - Bernama
SEPANG: Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negara ini.
Pesawat khas yang membawa Zhaparov dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.45 petang dan ketibaan mereka disambut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Zhaparov kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat).
Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan berkenaan ialah kunjungan pertama Presiden ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Januari 2021.Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.
Zhaparov akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra esok, disusuli mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Mereka akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan, selain pertukaran nota dalam bidang belia dan latihan untuk diplomat, serta surat hasrat mengenai kerjasama perundangan.
Anwar turut dijadualkan meraikan Zhaparov dan delegasi dalam majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Zhaparov juga akan mengadakan lawatan singkat ke Parlimen Malaysia di ibu negara.
Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti manakala import utama Republik Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami