Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) membuat laporan polis terhadap individu menularkan kenyataan yang dianggap menjejaskan perniagaan kedai makan mamak serta restoran nasi kandar di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa PRESMA Abdul Aziz Shik Ahmad berkata setakat ini, pihaknya sudah membuat satu laporan polis pada 27 Ogos lalu berhubung kenyataan tidak berasas yang tular di aplikasi WhatsApp.

"Pemilik akaun tersebut berkongsi kiriman yang berbunyi 'Peringatan kod merah kepada seluruh Malaysia untuk menjauhi kedai-kedai mamak dan restoran nasi kandar di seluruh Malaysia.'

"Perkara ini amat menjijikkan dan merosakkan industri kedai mamak dan restoran nasi kandar. Pengesahan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa kenyataan itu adalah palsu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kenyataan itu yang kini tular di platform media sosial bukan sahaja menjatuhkan kredibiliti perusahaan makanan malah akan menjejaskan ekonomi pengusaha dengan lebih teruk terutama ketika dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Katanya kenyataan berbaur fitnah itu tidak harus dikhususkan kepada perniagaan kedai makan mamak dan restoran nasi kandar hanya kerana terdapat sebilangan kes positif COVID-19 yang membabitkan staf restoran nasi kandar.

"Sebilangan kes itu boleh berlaku di mana-mana sahaja bukan hanya di kedai yang diusahakan oleh (golongan) India Muslim. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, tidak ada mana-mana pekerja kita yang dihantar balik ke negara mereka atau (yang baharu) diambil masuk ke dalam negara," katanya.

-- BERNAMA