KUALA LUMPUR : Inisiatif menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) telah menyediakan sebanyak 32 program yang bakal memanfaatkan lebih 9,000 penggiat seni kreatif yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, usaha itu juga bakal mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan.

“Kerajaan amat prihatin dan memahami situasi yang dihadapi oleh para artis dan pekerja tadbir seni budaya kesan daripada pandemik COVID-19.

“(Justeru) amat penting bagi KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) untuk mengembalikan industri kreatif untuk beroperasi sepenuhnya dan mengekalkan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan,” katanya dlaam sidang media inisiatif pemulihan Cendana-Prisma secara maya pada Isnin. 

Secara keseluruhan, kerajaan, kata beliau, telah membelanjakan RM329 juta dalam usaha memperkasa golongan industri seni yang terjejas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif yang turut mendapat kerjasama Agensi Ekonomi Seni Budaya (Cendana) itu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM17 juta bagi tempoh 12 bulan bagi matlamat yang sama.

Selain itu, Saifuddi  turut memaklumkan pertambahan peruntukan sebanyak RM8 juta yang bakal ditadbir urus di bawah Cendana adalah bagi memastikan momentum pemulihan seni budaya dilakukan secara berterusan.

Prisma merupakan salah satu inisiatif jangka pendek kerajaan bagi membantu kelangsungan dan kelestarian penggiat seni di Malaysia sejajar dengan pembudayaan norma baharu pandemik COVID-19.