SHAH ALAM: Kemenangan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan dipercayai bersifat status quo atau kekal dimenangi penyandang berdasarkan kepada keputusan enam PRK sebelum ini.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan itu banyak ditentukan mengikut situasi yang bakal berlaku dalam tempoh lima hari terakhir dan peratusan keluar mengundi kelak.

"Lazimnya dalam PRK sebelum ini status quo tetapi tumpuan diberikan dalam Kuala Kubu Baharu kerana di sini tempat untuk berkomunikasi, ruang akses peluang untuk membolehkan kedua-dua parti sama ada mahu memanipulasi isu atau menukar ke atas isu yang dibawa dalam usaha merakyatkan kepimpinan.

"Keputusan banyak bergantung kepada apa yang bakal berlaku dalam tempoh lima hari terakhir kerana ia tempoh masa getir bagi kedua-dua parti sama ada mahu memastikan kerusi tersebut kekal atau sebaliknya.

"Kalau kekal, saya percaya majoritinya mungkin menjadi rendah kerana kesemuanya banyak bergantung kepada peratusan yang keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana siri 438 bertajuk 'Apa Khabar, Kuala Kubu Baharu' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian semalam.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan, Setiausaha Negeri Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dr Afif Bahardin dan Ketua Biro Dasar Awam Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Michelle Ng Mei Sze sebagai panel.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, isu lokaliti perlu diberi keutamaan dalam manifesto oleh calon-calon yang bertanding untuk mempengaruhi sentimen dalam kalangan pengundi bagi melahirkan kepercayaan dan keyakinan terhadap masyarakat.

Menurutnya, isu-isu berhubung kos sara hidup, peluang pekerjaan dan nilai mata wang akan terus dimainkan dalam mana-mana pilihan raya, namun perkara yang akan dinilai oleh pengundi mengenai kemampuan calon merealisasikan manifesto tersebut.

“Politik ialah pengurusan persepsi dan seni segala kemungkinan, jadi sejauh manakah isu sampingan lain dapat ditangkis dan juga dipastikan tidak akan menjejaskan reputasi serta kredibiliti calon untuk mendekati pengundi?

“Walaupun akan ada isu nasional yang dibawa tetapi sekiranya calon parti mampu membawa kepada persoalan isu lokaliti kearifan tempatan, ia barangkali akan memberikan nilai tambah lebih daripada isu sampingan yang lain.

“Manifesto calon perlu melihat kepada isu lokaliti dan bagaimana mahu mendekati kelompok belia, pesara, penjawat awam, perkampungan orang asli dan ladang-ladang masyarakat India yang ada di situ,” ujarnya.

Tambah Sivamurugan, isu mengenai tahap pendidikan yang dibangkitkan baru-baru ini dipercayai bukan satu-satunya indikator dalam menentukan pola pengundian.

“Dinamiknya seorang wanita dan muda barangkali mahu mendekati kelompok yang berumur 40 tahun ke bawah supaya mereka ini keluar mengundi kerana golongan ini tidak keluar (undi) dalam pilihan raya lepas.

“Mungkin mereka menganggap pendidikan boleh memainkan peranan untuk menentukan pola pengundian kerana segala bentuk isu akan dimainkan. Mahu tidak mahu, calon mengeluarkan latar belakang pendidikan mereka supaya dapat mempengaruhi sebahagian daripada kelompok pengundi yang pelbagai.

“Saya percaya, ia tidak akan menjadi rentas terhadap pola pengundian tetapi yang lebih besar daripada ini ialah faktor etnik, kerjasama dan sejauh mana mereka mampu membawa keluar pengundi yang setia kepada parti,” katanya lagi. - Sinar Harian