MUAR: Bandar diraja Johor, Muar, bagaikan tak menang tangan menyambut kehadiran pengunjung luar yang lebih daripada kebiasaan, lebih-lebih lagi dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram yang sedang berlangsung, selain musim cuti sekolah yang baru berakhir dua hari lepas.

Pertambahan kenderaan misalnya mula dilihat sejak 26 Ogos lepas, iaitu sehari selepas bermulanya cuti sekolah, dan tiga hari sebelum bermulanya penamaan calon, yang menyaksikan pemimpin dan jentera parti politik mula bermukim di Muar.

Berdasarkan tinjauan di laman sesawang tempahan, ia sekali gus turut menyebabkan banyak homestay dan hotel-hotel sekitar bandar Muar, bandar pelancongan terbersih ASEAN yang terletak kira-kira kira-kira 200 kilometer dari Johor Bahru, hampir penuh.

Malah menerusi kumpulan Facebook anak-anak Muar pun, pasti kelihatan orang-orang luar yang menggelar diri mereka sebagai pelancong pilihan bertanyakan soal tempat asam pedas terbaik Muar, atau hotel bersesuaian yang boleh diduduki dengan lokasi strategik.

"Dalam tempoh beberapa minggu ini hampir 70 peratus daripada mereka yang menginap di hotel kami merupakan working guest dan keluarga besar yang datang daripada pelbagai negeri seperti Kuala Lumpur dengan kadar tempahan lebih 80 peratus," kata Ng Hui Hui, pengurus di Wood Hotel Muar.

Dengan tempoh berkempen berbaki beberapa hari sahaja lagi, ditambah pula dengan penganjuran ceramah-ceramah mega oleh parti politik, menjadikan Muar terus menjadi tumpuan pelancong-pelancong pilihan raya serata negeri selain pengamal media daripada ibu negara.

Bagi pemilik Satay Warisan, Zainah Hussein, beliau sendiri menyedari kehadiran jumlah pelanggan yang semakin ramai sejak beberapa minggu lepas dan disebabkan itu, beliau mengambil pelbagai langkah bagi memastikan pelanggan mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan hidangan.

Katanya dengan tradisi di Muar yang menjadikan sate sebagai hidangan utama untuk sarapan, kira-kira 3,000 cucuk sate seperti sate perut, ayam dan daging yang disediakan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sementara itu kakitangan restoran Asam Pedas Kakyah yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy pula berkata sejak beberapa minggu lepas, kedai berkenaan dikunjungi banyak pelanggan luar, termasuk jentera kempen yang mahu merasai keenakan asam pedas pari dan sembilang yang menjadi pilihan utama di situ.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S. Jeganathan.

-- BERNAMA