JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.

Jelasnya, suasana politik di Johor berbeza dan pengundi di sini dirasakan tidak terlalu pro dan obses kepada Perikatan Nasional (PN) atau Pas.

"Saya yakin PH akan mampu menang, namun soal peningkatan atau pengurangan majoriti undi itu letak tepi dahulu. Perkara penting PH dan Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuhkan jentera bersama untuk mencapai kemenangan.

"Mengenai gelombang PN yang digembar-gemburkan itu, saya tiada komen, itu hal mereka. Di Johor, kita tak nampak rakyat yang terlalu pro atau obses pada PN atau Pas.

"Disebabkan itu PH yakin pengundi Melayu akan kekal setia bersama PH. Pandangan undi orang Melayu akan beralih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini hanya tanggapan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan calon PH bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di sini pada Khamis.

Turut hadir, tiga Naib Presiden Amanah, Adly Zahari, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa serta Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Seterusnya hadir sama, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng, Timbalan Pengerusi PKR, Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sabtu lalu, bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, diumum sebagai calon parti itu mewakili PH, bagi PRK Parlimen Pulai dan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, bagi PRK DUN Simpang Jeram.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata, rakan gabungan PH iaitu DAP dan PKR sudah memberikan kerjasama atas semangat kerajaan Perpaduan bagi menggerakkan jentera.

"BN yang menjadi rakan baharu PH juga sudah memberikan komitmen bagi membantu jentera PH bagi memastikan kita dapat mengekalkan kemenangan di dua kerusi berkenaan," katanya. - Sinar Harian