MUAR: Seorang warga emas tidak melupakan tanggungjawabnya untuk memilih wakil rakyat bagi kali ke-13, meskipun terpaksa hadir berkerusi roda ketika pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sekolah Agama Tun Dr Ismail, di sini.

Salmah Amir, 69, malah dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan warga emas yang pertama hadir dan antara 10 pengundi terawal di pusat pengundian tersebut.

Dia yang tinggal di Batu 1, Bakri, berkata hadir mengundi dengan ditemani anak perempuannya yang berusia 30 tahun.

"Saya sudah mengundi sejak umur 24 tahun lagi. Kali ini sudah kali ke-13 termasuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor yang lepas. Saya datang awal kerana tidak mahu bersesak.

"Hari ini saya datang awal pukul 7.30 pagi bersama anak. Alhamdulillah, saya telah menunaikan tanggungjawab saya sebagai warganegara Malaysia untuk memilih pemimpin di kawasan ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Rakan karib, Yap Chin Yuen dan Yeo Jia Hui masing-masing berusia 28 tahun pula berkata mereka teruja kerana menjadi dua pengundi paling awal di sekolah tersebut.

"Kami lega dapat menunaikan tanggungjawab dengan lancar dan berharap semua dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih pemimpin di kawasan mereka," kata Yap yang tiba bersama Yeo pada 7.20 pagi.

Sekolah Agama Tun Dr. Ismail, merupakan pusat pengundian yang memiliki pengundi teramai bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 5,571 orang pemilih.

Di JOHOR BARU, warga emas, Md Amin Anis, 68, menjadi antara pengundi terawal di Sekolah Agama Bandar, di sini.

Meskipun bertongkat, dia tetap bersemangat bersama isterinya, Rosmani Ab Ghani, 65, menunaikan tanggungjawabnya mengundi untuk PRK Parlimen Pulai.

"Saya tak pernah lupa untuk mengundi meskipun bertongkat, malah empat tahun lepas saya datang mengundi dengan berkerusi roda kerana paha dan punggung patah akibat kemalangan jalan raya.

"Untuk memilih kali ini tidaklah susah meskipun senario politik sudah berbeza. Saya banyakkan membaca, mengkaji dan bulatkan hati untuk memilih calon yang saya yakin pilihan terbaik untuk masa depan rakyat dan negara," kata bapa kepada tujuh anak itu.

-- BERNAMA