GEORGE TOWN: Seramai 11,294 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunaikan tanggungjawab dalam proses undi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN15) di Pulau Pinang kali ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, daripada jumlah itu, 6,451 melibatkan anggota polis manakala baki 4,483 merupakan Angkatan Tentara Malaysia (ATM).

Berdasarkan rekod, kawasan daerah timur laut mencatatkan jumlah pengundi paling ramai bagi Pulau Pinang.

"Timur laut catat pengundi paling ramai yang merangkumi tujuh pusat mengundi untuk PDRM dan lima pusat undi untuk ATM.

"Jumlah pengundi bagi kawasan ini sahaja sebanyak 1,992 anggota PDRM dan ATM seramai seramai 591 pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melawat proses undi awal di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, seramai 217 anggota polis ditugaskan bagi memantau proses undi awal pada pagi ini.

Ditanya mengenai perjalanan kempen PRN15, Kok Chin berpuas hati dengan senario politik di Pulau Pinang dengan kerjasama melibatkan pemantauan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun wujud beberapa kes yang diterima namun ia tidak begitu serius dan hanya melibatkan kawasan terpencil.

"Ada kesan kes judi mereka yang bertarung parti mana akan menang dan siapa yang kalah tetapi tidaklah melibatkan sindiket yang besar dan jika ada kita akan buat tangkapan.

"Buat masa ini, tidak wujud sindiket yang mampu untuk pengaruh proses PRN15 di sekitar Pulau Pinang ini," katanya lagi.

Secara keseluruhan, Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertaruh parti-parti politik dengan beberapa kerusi panas antaranya Bertam dan juga Bayan Lepas.