MERSING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersiap sedia untuk anggotanya melaksanakan kewajipan, pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Selasa ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata setakat ini, beliau tidak menerima sebarang laporan negatif berhubung persiapan menghadapi PRN Johor, dalam kalangan anggotanya.

"Saya tiada angka tepat sekarang (jumlah anggota ATM yang mengundi), tetapi yang penting kita tahu seperti biasa anggota-anggota bila keluar mengundi dalam keadaan teratur dan berdisiplin.

"Justeru, saya berharap agar hari pengundian awal nanti berjalan lancar dan saya yakin daripada interaksi saya dengan pemimpin-pemimpin khususnya di Johor ini, mereka sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Mersing di sini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) menegaskan, agar tidak menjadikan PRN Johor sebagai platform politik kebencian yang akan membawa kepada perpecahan.

"Jangan kita menang sorak tetapi kampung tergadai. Dalam kita melihat ke hadapan, pastikan perjalanan kita dalam PRN Johor ini tidaklah sampai menanam kebencian dan perpecahan, khususnya dalam kalangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Mari kita fokus kepada sesuatu yang lebih konstruktif (keperluan rakyat), yang akan menjadi 'pokok utama' tumpuan selepas berakhir PRN Johor nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.

-- BERNAMA