JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi saranan agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat membuang undi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, satu surat rasmi akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengemukakan perkara itu.

Katanya, ini bagi memastikan bukan sahaja guru-guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi lebih utama adalah terhadap pelajar yang akan menduduki peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, jelas Radzi pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada SPR berkenaan penggunaan sekolah menegah sebagai pusat mengundi.

"Kesimpulannya, bagi pihak KPM, kita tidak ada masalah membenarkan penggunaan sekolah rendah namun (untuk) sekolah menengah kita memohon secara rasmi sebab semalam saya baru dapat maklumat rungutan daripada guru apabila sekolah mereka akan digunakan.

“Jadi kita akan menulis secara rasmi kepada pihak SPR supaya tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Johor Bahru pada Sabtu.

KPM minta SPR tidak guna sekolah menengah semasa PRN Johor

Cadangan untuk tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pengundian itu dibuat susulan menerima rungutan darioada warga pendidik, yang meluahkan kebimbangan berkenaan proses pembelajaran anak murid yang menduduki SPM.

Di samping itu beliau memaklumkan, pihaknya tidak menghadapi masalah sekiranya sekolah rendah digunakan sebagai pusat mengundi.

BACA: PRN Johor: Penamaan calon 26 Feb, pengundian 12 Mac - SPR

Terdahulu, SPR menetapkan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac 2022.