JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN Johor, manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media sebentar tadi.

Selain itu, beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021, yang dikemaskini sehingga 21 Januari 2022.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 orang,” katanya lagi.

SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI

Dalam kenyataan media susulan, Abdul Ghani berkata, daripada keseluruhan rakyat yang layak mengundi, 2,574,835 orang merupakan pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan, serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Tempoh dua minggu berkempen pula, katanya lagi, akan bermula pada 26 Februari, sehingga 11.59 malam, 11 Mac, 2022, iaitu hari Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemohonan untuk mengnudi secara pos boleh dilakukan di pautan http://myspr.gov.my/.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan Borang 1C (Sembilan Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan), telah dibuka bermula 9 Feb hingga 18 Feb.

“Manakala untuk kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli / Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas media) pula dibuka bermula 9 Feb, hingga 24 Feb,” katanya lagi.

Abdul Ghani berkata, pemohon dinasihat memohon lebih awal selepa tarikh dibuka, bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

Bagi memastikan proses PRN Johor lancar, Abdul Ghani berkata, SPR telah melantik 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya, dibantu 186 Penolong Pegawai Pengurus, serta 56 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Pasukan PP-KPR ini dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang yang bertanding,” katanya lagi.

Abdul Ghani berkata, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN Johor, selain memohon kerjasama semua pihak untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

Bagi mengawal penularan wabak COVID-19 sepanjang tempoh pilihan raya pula, beliauberkata, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 sedang dikemaskini oleh SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).