JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal bermesyuarat di Johor Bahru esok bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkenaan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia memaklumkan, mesyuarat tersebut yang akan bermula jam 10 pagi akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (DUN) Johor Ke-15 pada 9 Februari 2022 bermula jam 10 pagi.

“Sidang media oleh Abdul Ghani akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas,” menurut kenyataan itu.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 

Pada 22 Januari lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN.

Terdahulu, Sultan berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pada perkenan itu diberikan.

“Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang Ke-14 termansuh pada 22 Januari 2022,” menurut satu kenyataan Sultan Johor.

Pada hari yang sama, Hasni, yang bakal mempertahankan kerusi DUN Benut pada PRN akan datang, menegaskan beliau tidak mahu kerajaan negeri terus bergerak atas ihsan pembangkang, seperti yang terjadi ketika ini.

Pengerusi Barisan Nasional Johor itu berkata, sebagai contoh, beberapa rundingan dalam Dewan DUN tidak dapat berjalan kerana majoriti tipis satu kerusi, serta faktor Speaker DUN merupakan parti pihak lawan.

Atas sebab itu, Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, beliau perlu mendapatkan mandat baharu untuk memastikan UMNO dan BN dapat mentadbir negeri dengan stabil.

Pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli DUN Kempas Datuk Osman Sapian, yang juga bekas menteri besar, pada 21 Disember lalu.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan telah memberi lampu hijau untuk PRN Johor dilaksanakan.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM telah memuktamadkan serta mengemukakan syor prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan seterusnya kepada SPR.