Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Bukan lagi negeri laluan, bakal jadi koridor ekonomi baharu negara - Aminuddin

Aminuddin Harun
Menurut Aminuddin Harun, visi koridor berkenaan akan menghubungkan Kuala Lumpur Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai hab ekonomi. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Aminuddin Harun menggariskan visi untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai koridor pertumbuhan baharu negara yang menghubungkan teknologi, logistik, inovasi dan pembangunan modal insan.

Menurut Menteri Besar itu, kedudukan strategik Negeri Sembilan di tengah jajaran pembangunan Semenanjung Malaysia memberikan kelebihan geografi meliputi landskap ekonomi negara.

Menurutnya, koridor berkenaan akan menghubungkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran dan kewangan negara, Selangor sebagai enjin pelaburan serta perindustrian, Negeri Sembilan sebagai pusat pertumbuhan baharu, manakala Melaka berfungsi sebagai pintu pelancongan, warisan dan ekonomi maritim.

“Empat wilayah ini tidak sepatutnya berkembang secara berasingan. Sebaliknya, ia mesti berkembang sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi. Satu koridor yang menyatukan bakat, pelaburan, inovasi, peluang dan masa depan.

“Di tengah-tengah koridor inilah berdirinya Negeri Sembilan. Negeri Sembilan bukan lagi negeri di tengah perjalanan. Negeri Sembilan akan menjadi pusat kepada perjalanan itu,” katanya ketika melancarkan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan, di sini, pada Isnin.

Aminuddin berkata, visi itu akan dipacu menerusi beberapa projek strategik termasuk penjenamaan semula Malaysia Vision Valley (MVV) kepada Malaysia Vision Valley 2.0, pembangunan NS Semiconductor Valley, serta Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City.

Jelasnya, visi itu mampu menarik industri berteknologi tinggi dan pelaburan masa hadapan.

Selain itu, pembangunan Seremban Sentral, Hospital Enstek dan rangkaian logistik baharu akan terus dipercepatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi, meningkatkan pendapatan rakyat serta menarik pulang bakat tempatan.

Menurut beliau, matlamat kerajaan negeri bukan sekadar menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab perindustrian, sebaliknya memastikan pembangunan yang seimbang supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.

“Saya mahu Negeri Sembilan dikenali kerana rakyatnya menikmati kehidupan yang lebih baik.Saya mahu Negeri Sembilan menjadi contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia. 

"Sebuah negeri yang industrinya berkembang, pertaniannya moden, pelancongannya menjadi tarikan, bandarnya pintar, desanya terus subur, alam sekitarnya dipelihara dan rakyatnya menikmati kualiti hidup yang tinggi,” katanya.

Tegas Aminuddin, visi itu bukan sekadar agenda politik, sebaliknya hala tuju jangka panjang untuk memastikan Negeri Sembilan muncul sebagai negeri paling diyakini dalam aspek pelaburan, selesa didiami dan mampu menawarkan masa depan terbaik kepada generasi akan datang.

Must Watch Video

Advertisement