SEREMBAN: Polis akan melaksanakan penutupan dan lencongan di beberapa jalan utama di daerah Seremban, Rembau dan Jelebu pada hari pengundian dan penjumlahan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata penutupan dan lencongan jalan itu akan dilaksanakan dari pukul 7 pagi hingga 5 petang sempena proses pengundian manakala dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam bagi proses penjumlahan undi.
Beliau berkata penutupan jalan dan lencongan di Seremban melibatkan Jalan Yam Tuan (Madura), Jalan Tunku Hassan, Jalan Lim Kee Siong, Jalan Dato Sheikh Ahmad, Lorong Khalsa, Jalan Dato Bandar Tunggal, Jalan Persiaran Forest Heights 1 dan Jalan Persiaran Forest Heights 2.
“Jalan alternatif di daerah itu melibatkan Jalan Dato’ Abdul Malek, Jalan Tuanku Munawir, Jalan Tunku Hassan, Jalan Dato Abdul Kadir, Jalan Kuil, Jalan Leftenan Adnan, Taman Dusun Setia dan Jalan Taman Seremban Garden,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Penutupan dan lencongan di Jelebu melibatkan Jalan Dato Syed Ali (Public Bank), lampu isyarat Jalan Kuala Klawang-Seremban (hadapan balai trafik-Mahkamah Majistret Jelebu), Jalan Seremban-Simpang Pertang (Hotel Kuala Klawang-lampu isyarat Pekan Kuala Klawang) dan lampu isyarat Jalan Dato Abdullah-Jalan Dato Syed Ali manakala jalan alternatif adalah Jalan Dato’ Moyang Salleh dan Jalan Larong.
Alzafny berkata di Rembau, penutupan dan lencongan jalan membabitkan Jalan Seremban-Tampin yang akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada perarakan penyokong calon ke pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Rembau manakala pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang akan ditentukan oleh anggota polis bertugas mengikut keadaan semasa.
Selain itu, penutupan jalan di daerah itu turut melibatkan Jalan Dato’ Lela Maharaja dengan jalan alternatifnya, Jalan Rembau-Pedas.
Alzafny berkata semua pengguna jalan raya, termasuk pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan laluan utama yang melibatkan pusat mengundi serta menggunakan laluan alternatif dicadangkan pada tarikh dan waktu ditetapkan.
Beliau berkata kenderaan perdagangan seperti bas persiaran, bas kilang, bas sekolah dan lori, kecuali lori satu tan tidak dibenarkan melalui kawasan pusat mengundi dari pukul 7 pagi hingga 6 petang pada hari pengundian.
“Pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan atau kenderaan berat juga dinasihatkan supaya mengelakkan pergerakan melalui laluan kritikal, khususnya pada waktu puncak,” katanya.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA