Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Tuanku Muhriz titah ADUN pikul amanah rakyat dengan jujur dan ikhlas

KUALA PILAH, 2 Ogos -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani berkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SERI MENANTI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diberi mandat supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan politik serta peribadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini, baginda menegaskan, mandat yang diterima daripada rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) membawa tanggungjawab yang amat besar.

Menurut baginda, setiap wakil rakyat bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan serta permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) agar setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat.

“Beta ingin mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah diberikan mandat oleh rakyat bahawa amanah yang dipikul adalah amat besar.

“Kamu bertanggungjawab untuk membawa suara, aspirasi, keperluan, dan permasalahan rakyat ke Dewan yang Mulia agar setiap dasar, perancangan, dan keputusan yang dibuat benar-benar mementingkan kepentingan rakyat.

“Justeru, setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan. Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa utamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.

Pada masa sama, Tuanku Muhriz bertitah, Negeri Sembilan memerlukan barisan pemimpin yang berintegriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni.

Baginda turut mengingatkan agar setiap amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.

Pada masa sama, baginda turut menegaskan, sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan bukan sahaja mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta menjejaskan pelaksanaan dasar demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz, pada 11.40 pagi.

Turut berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.

Must Watch Video

Advertisement