Skip to main content

Malaysia

MTL: KPM sedia aktifkan Ops Payung, buka bilik gerakan

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata pelbagai langkah persediaan kini  disusun dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Gambar fail
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata pelbagai langkah persediaan kini  disusun dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menggerakkan strategi Ops Payung serta membuka bilik gerakan banjir sebagai langkah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), sekali gus memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata pelbagai langkah persediaan kini  disusun dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata KPM bersiap siaga sepenuhnya ketika MTL ini berikutan perubahan iklim di negara ini menyebabkan terdapat lokasi yang sebelum ini tidak dilaporkan banjir kini mengalami bencana itu. 

Advertisement

“Di peringkat KPM, saya telah arahkan untuk membuka bilik gerakan banjir. Daripada sini (bilik gerakan banjir), kita akan kumpul maklumat, lihat trend tentang banjir ini dan kita sentiasa mengingatkan di peringkat negeri sampai ke peringkat daerah dan juga di sekolah-sekolah. 

“Insya-Allah, kita dapat memastikan anak-anak kita menduduki SPM tahun 2026 ini dengan lancar," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian penutupan Kejohanan Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Ops Payung ialah prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan khusus yang dikendalikan oleh KPM melalui Lembaga Peperiksaan untuk memastikan kelancaran peperiksaan awam semasa berlaku bencana alam seperti banjir.

Mohd Azam berkata inisiatif memindahkan calon yang tinggal di kawasan berisiko atau terputus laluan ke asrama sekolah diteruskan seperti tahun sebelumnya bagi mengelakkan gangguan kehadiran peperiksaan. 

“Dari tahun lepas kita sudah mula ambil anak-anak ini, kita letakkan di asrama-asrama supaya anak-anak ini tidak terganggu. 

“Kadang-kadang tempat yang kita kata tidak banjir berlakunya banjir, yang itu kita akan uruskan bersama-sama dengan sokongan, kerjasama oleh polis, APM dan sebagainya. Jadi, semua ini memang telah (diatasi) dengan sebaik mungkin,” katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2026 dijadual berlangsung pada 23 Nov hingga 17 Dis ini, manakala MTL yang telah bermula pada 27 Okt lepas dijangka berterusan hingga Mac 2027.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement