Skip to main content

Dunia

Ancaman bom terbaharu jejas beberapa penerbangan di Eropah

Sebuah penerbangan Finnair dari Helsinki mendarat di Lapangan Terbang Rom Fiumicino pada kira-kira 9:30 pagi (0830 GMT) dengan diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali, susulan maklumat tanpa nama mengenai kemungkinan ancaman bom di dalam pesawat. - Foto REUTERS/Remo Casilli
Sebuah penerbangan Finnair dari Helsinki mendarat di Lapangan Terbang Rom Fiumicino pada kira-kira 9:30 pagi (0830 GMT) dengan diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali, susulan maklumat tanpa nama mengenai kemungkinan ancaman bom di dalam pesawat. - Foto REUTERS/Remo Casilli

Ringkasan AI

  • Beberapa penerbangan di Eropah terganggu akibat ancaman bom, melibatkan insiden di Perancis, Itali, Austria, Denmark dan Republik Czech.
  • Penumpang dan anak kapal dipindahkan ke tempat selamat, manakala pakar bahan letupan menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi terlibat.
  • Pihak berkuasa menyatakan tiada bahaya dikesan setakat ini dan menganggap beberapa ancaman sebagai kurang serius.
Advertisement

PARIS/ROME: Beberapa penerbangan penumpang di seluruh Eropah terganggu pada Khamis susulan laporan ancaman bom, kali kedua berlaku minggu ini, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Pejabat Perdana Menteri Perancis memaklumkan sebuah penerbangan berjadual dari Dublin ke Rom dilencongkan ke Perancis dan mendarat di lapangan terbang tentera Evreux.

Sebanyak 151 penumpang dan enam anak kapal dibawa ke tempat selamat manakala pakar bahan letupan turut dikerahkan ke lokasi, tambah pejabat itu.

Advertisement

Sebuah penerbangan Finnair dari Helsinki mendarat di Lapangan Terbang Rom Fiumicino pada kira-kira 9:30 pagi (0830 GMT) dengan diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali, susulan maklumat tanpa nama mengenai kemungkinan ancaman bom di dalam pesawat.

Agensi berita Itali, ANSA, melaporkan pakar bahan letupan sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan.

Advertisement

Sementara itu, ANSA melaporkan sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Milan Malpensa pada sebelah pagi mendarat di Vienna, selepas dilencongkan susulan ancaman bom yang diterima semasa penerbangan.

Seorang jurucakap polis Austria mengesahkan pendaratan tersebut kepada dpa. Beliau menyatakan satu e-mel yang mengandungi ancaman bom telah diterima di Poland.

Jurucakap itu menyifatkan ancaman tersebut sebagai "abstrak" dan menyatakan tiada bahaya dikesan di Vienna. Beliau menambah pesawat itu kini dalam perjalanan ke Warsaw.

Lapangan Terbang Copenhagen turut menerima ancaman ke atas dua penerbangan. Polis memberitahu agensi berita Denmark, Ritzau, tiada objek mencurigakan ditemukan semasa pemeriksaan terhadap pesawat-pesawat berkenaan.

"Berdasarkan penilaian kami, tiada bahaya, sama ada pada masa ini atau sebelumnya, terhadap penumpang mahupun individu lain yang berada di lapangan terbang," kata pihak polis.

Menurut Ritzau, jurucakap tersebut enggan mendedahkan penerbangan mana yang terlibat.

Polis Republik Czech menyatakan mereka menerima amaran mengenai bom buatan sendiri di dalam empat pesawat.

Pesawat-pesawat tersebut akan diperiksa oleh pakar selepas mendarat di Lapangan Terbang Václav Havel, Prague.

Pihak polis menambah mereka menganggap ancaman tersebut sebagai kurang serius.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement