ALOR SETAR: Polis Kedah menerima dua laporan berhubung tindakan khianat merosakkan papan tanda yang dipercayai berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung Ogos depan.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dua kes itu dilaporkan di Kubang Pasu dan Kulim, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Dalam suasana hendak berdepan PRN ini, polis telah menerima laporan berhubung tindakan menconteng dan merosakkan papan tanda, dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

"Saya ingin menyeru semua masyarakat Kedah supaya tidak melakukan perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan, terutamanya yang menyentuh mengenai isu 3R, yakni yang berkaitan dengan agama, raja, dan kaum.

-- BERNAMA