PRN Sabah: Polis kenal pasti 15 lokasi panas

Mohd Khalid ketika sidang media pada majlis perjumpaan khas bersama petugas PDRM sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kira-kira 15 lokasi panas yang memerlukan kawalan keselamatan rapi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan tumpuan khusus di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan pantai timur.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 15 lokasi panas yang memerlukan kawalan keselamatan rapi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, terutamanya di sekitar Kota Kinabalu dan pantai timur, disebabkan faktor politik dan jangkaan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
- Untuk memastikan keselamatan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, PDRM akan menempatkan 9,300 pegawai dan anggota di seluruh negeri, dengan penugasan termasuk pengawalan trafik dan pemantauan bangunan pentadbiran dan Istana Seri Kinabalu.
- Ketua Polis Negara menasihati semua pihak, termasuk parti politik, NGO, dan pertubuhan, untuk mengelakkan provokasi semasa PRN Sabah demi keamanan negeri, sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov dengan 1,784,843 pengundi layak mengundi.
"Kita akan tempatkan anggota termasuk daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) selain menugaskan Pasukan Penggempur Ringan (LSF) atau Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di kawasan yang perlu bagi memastikan ketenteraman dapat dikawal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama petugas PDRM sempena PRN Sabah ke-17 di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata untuk menjaga keselamatan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN kali ini, PDRM akan menempatkan 9,300 pegawai dan anggota di seluruh negeri.
Penempatan itu termasuk penugasan 4,300 pegawai dan anggota di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri pada esok bagi mengawal trafik selain pemantauan terhadap bangunan pentadbiran dan Istana Seri Kinabalu.
"Kita juga ada bantuan tambahan anggota kira-kira 1,200 orang tetapi keperluan untuk deploy bergantung kepada Ketua Polis Negeri, mengambil kira keadaan seperti perubahan cuaca sempena Monsun Timur Laut," katanya.
Mohd Khalid juga menasihatkan semua parti politik, NGO dan pertubuhan supaya mengelakkan sebarang provokasi sepanjang tempoh PRN bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negeri dapat dikekalkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 Nov dan hari pengundian pada 29 Nov.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

