KUCHING: Sebanyak 7,469 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, buat masa ini, polis Sarawak masih kekurangan 889 pegawai dan anggota bagi memenuhi keperluan penugasan PRN berkenaan dan memerlukan bantuan kontinjen lain.
“Sehubungan itu, permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Bukit Aman bagi mendapatkan bantuan tenaga kerja daripada kontinjen lain, dengan Sabah antara yang berkemungkinan membantu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Saifullizan berkata, persiapan awal telah dilakukan, termasuk penyusunan sumber manusia bagi memastikan kelancaran penugasan sepanjang PRN.
Beliau berkata, persiapan logistik dan keperluan berkaitan turut diambil kira bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara sepanjang proses pilihan raya itu.
Pada 23 Okt lepas, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt, bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Nov depan bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan PRN tersebut.
-- BERNAMA
Sarawak, PRN, polis, Saifullizan Ishak, keselamatan