KOTA SAMARAHAN: 'Beri kami peluang untuk kami dekati rakyat Sarawak.'

Itu rayuan Datuk Seri Wan Dr Azizah Wan Ismail kepada pihak berkuasa di negeri itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, peluang yang ada untuk mereka berkempen ketika ini begitu sukar.

“Bila kita dalam pilihan raya kali ini, caranya memang susah, dengan COVID-19, dan kita faham. tetapi jangan ada ‘double standard’.

“Saya rasa beri kita peluang juga untuk mendekati pengundi-pengundi supaya mereka membuat pilihan, dan mengetahui siapa yang dipilih untuk masa depan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI ketika program ‘walkabout’ di Pekan Asajaya, di sini pada Jumaat.

Hadir sama calon PKR bagi DUN N.15 Asajaya, Mahmud Epah.

Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021

Mengenai sentimen anti parti Semenanjung yang sedang dilaungkan oleh sesetengah parti yang bertanding, Wan Azizah berkata: “Kita bukan (parti) Semenanjung, kita memang sama… Malaysia kan.

“Sebab itu parti Malaysia dan sebab itu parti tempatan ini, kita bagi anak tempatan (bertanding). Dia tidak ambil bahagian sebagai anak Semenanjung yang datang bertanding sini, tidak,” tambah beliau.

Sementara itu, Mahmud berkata fokus kempen PKR di DUN tersebut adalah untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk serta memperjuangkan isu penempatan, yang masih menjadi masalah.

“Jadi dalam pada masa yang sama, kita di Keadilan negeri Sarawak telah membangunkan satu cadangan yang dipanggil SELDA, iaitu model yang hampir sama seperti Felda.

“Ia merupakan satu penempatan kepada penduduk kampung di samping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung itu sendiri bagi menjamin peluang ekonomi penduduk kampung itu,” katanya. 

DUN N.15 Asajaya menyaksikan pertandingan empat penjuru, termasuk penyandang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pada 2016, Abdul Karim mengutip 6,163 undi untuk menewaskan calon PKR Abang Junaidi Abang Gom, yang sekadar mendapat 2,085 undi.