KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengesahkan akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang akan datang.

Mendedahkan perkara itu, Pemangku pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh menegaskan
gabungan blok pembangkang dengan beberapa parti  lain seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti AMANAH Sarawak juga diambil kira dalam pengagihan kawasan yang akan dipertandingkan dalam PRN-12.

Tambah Abang Zulkifli, pencalonan wakil rakyat di semua kawasan DUN tersebut telah dikaji dan diteliti sedalam-dalamnya dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk latar belakang calon, dan demografi kawasan DUN.


“Kriteria utama berkenaan dengan calon ialah mestilah individu yang berjiwa rakyat, memahami hala tuju parti, anti-rasuah dan seorang yang rela berhujan panas dalam apa jua keadaan politik dalam negara atau negeri ini.

“Kita juga akan menampilkan 20 peratus muka baharu daripada anak-anak muda dalam parti yang mewakili pelbagai bangsa dan agama, untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Sabtu.

Tambahnya, antara kawasan DUN yang akan diberi perhatian utama ialah DUN Ba’Kelalan, Krian dan Batu Lintang.

“Kita optimis PKR akan memenangi lebih daripada tiga kerusi DUN untuk PRN akan datang selain daripada tiga kawasan DUN yang pernah PKR dikuasai dahulu iaitu di Ba’Kelalan, Krian dan Batu Lintang.

“Calon kita yang akan bertanding juga bergantung kepada majoriti kaum di sesebuah kawasan ataupun calon itu dipilih berdasarkan kesesuaian terhadap struktur demografi masyarakat yang majmuk di kawasan DUN berkenaan, agar aspirasi yang kita bawa dan suarakan untuk rakyat dapat difahami dengan baik,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak mengadakan mesyuarat khas membincangkan mengenai perkembangan terkini berhubung PRN-12 Sarawak.

Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha untuk memperhalusi jentera-jentera parti di semua peringkat DUN dan mengesa agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh PRN sehingga tahun 2022.

“Kita masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan, kalau boleh kita sarankan agar pihak SPR melanjutkan tempoh PRN sehingga 2 Januari 2022 dan biarkan tempoh 60 hari tersebut sebagai ruang untuk rakyat di Sarawak bersedia secukupnya.

“Dari segi kesihatan kita baru sahaja memulakan pemberian dos penggalak vaksin, dan kita mesti memastikan isu utama seperti fasiliti telekomunikasi  di kawasan pedalaman diselesaikan dahulu bagi mengurangkan impak berkempen secara konvensional atau tradisi bersua bersama rakyat yang masih dilarang,” jelasnya.