KAPIT: Sejumlah RM25 juta diluluskan kerajaan bagi pembinaan projek infrastruktur di Kapit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan pembinaan pusat hemodialisis bernilai RM5 juta di Hospital Kapit.

Manakala RM20 juta lagi diperuntukkan untuk pembinaan jalan alternatif dari kawasan lapangan terbang Kapit ke Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Kapit.

“Ini sebahagian daripada pemohonan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebentar tadi tapi yang dia umumkan hanya dua sebentar tadi.

“Untuk itu sebanyak RM20 juta saya luluskan untuk pembinaan jalan alternatif ini bagi mengelakkan kesesakan.

“Seterusnya yang kedua saya luluskan juga peruntukan RM5 juta bagi menaiktaraf Hospital Kapit bagi kegunaan hemodialisis bagi merawat pesakit buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit Town Square pada Sabtu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa sebuah lapangan terbang akan dibangunkan di Kapit.

“Salah satu daripada tiga lapangan terbang yang dirancang dibina di Sarawak adalah di Kapit.

“Ini bermakna Kapit bukan sahaja mempunyai jalan yang baik tetapi juga akan memiliki lapangan terbang sendiri.

“Sebesar mana dan perincian lanjut mungkin nanti Datuk Seri Alexander Nanta Linggi boleh mengadakan perbincangan bersama Menteri Pengangkutan,” tambahnya lagi.

Antara lain tambahnya, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan untuk membina sebuah Kolej Profesional Mara di Kapit dengan Kos RM97 juta dalam RMK12.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Jambatan Berkembar Sungai Yong, Kapit.

Jambatan kedua berkepanjangan 270 meter siap sepenuhnya pada 30 Ogos 2021 itu terletak di antara kawasan Nanga Yong, Song dan Kapit.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.