KAPIT: “Terpaksa jual secara lelong kalau stok sayur tidak habis terjual”

Itu luahan Anita Sarat yang merupakan salah seorang peniaga sayur-sayuran di Pasar Pagi Kapit.

Katanya, inisiatif menjual secara lelong itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan stok sayurnya habis terjual dan boleh mendapatkan sedikit pulangan modal.

Anita yang sudah berniaga selama 15 tahun berkata, sejak sistem penggiliran dijalankan, mereka hanya dibolehkan berniaga empat hari seminggu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad bermula jam 6 pagi sehingga 2 petang.

Ia sebahagian strategi diatur Majlis Daerah Kapit dalam membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Sebenarnya jika diizinkan, saya ingin berniaga setiap hari, kalau tidak panjangkanlah waktu operasi perniagaan kami.

“Ini kerana dengan waktu yang operasi yang pendek, saya tidak mendapat pulangan modal yang dikeluarkan,” katanya.

Ujarnya, dia memahami bahawa sistem tersebut dilakukan bagi menjaga keselamatan peniaga dan pembeli namun dia memohon pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran dengan memanjangkan tempoh operasi tanpa perlu merombak jadual harian perniagaan.

“Bagi saya, sekiranya dapat beroperasi dengan waktu yang dipanjangkan sudah cukup, mungkin sampai jam 4 petang, itu sudah memadai,” tambahnya.

Luahan sama dikongsikan Shurayah Abdul Rahman yang berpendapat pertimbangan mungkin boleh diberikan dengan memastikan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ini kerana pemanjangan tempoh operasi akan dapat membantu peniaga mendapatkan sedikit keuntungan daripada modal yang sudah dikeluarkan.

“Saya faham bahawa sekarang ini kena berjaga-jaga dan langkah ini memang sesuatu yang wajar dilaksanakan.

“Tetapi kami tidak dapat menjana keuntungan, kalau boleh panjangkan waktu operasi kami dan pastikan SOP COVID-19 dipatuhi sebaiknya oleh peniaga dan pembeli,” ujarnya.

Pada masa sama, beberapa peniaga lain yang ditemui pula bersetuju dengan langkah proaktif diambil Majlis Daerah Kapit dalam memastikan warga daerah itu tidak terdedah kepada penularan COVID-19.

Ketika ditemui, Pauline Morine berkata, dia memilih untuk menjual baki jualannya dari rumah ke rumah supaya semua stoknya habis terjual.

“Saya bersetuju dengan tindakan ini kerana sekarang ini Kapit sudah menjadi lokasi tumpuan, ramai yang hadir ke sini.

“Jadi kita perlulah beringat sama bahawa pandemik ini masih ada dan kita semua harus sentiasa berwaspada.

“Kalau boleh kepada peniaga, kalau nak beli stok jualan, berpada-padalah jangan beli banyak-banyak sebab tempoh operasi kita pendek berbanding biasa,” katanya.

Senada dengannya ialah Ruphina Insudin yang menyifatkan peraturan itu wajar dikekalkan sehingga kita benar-benar dapat terhindar daripada COVID-19.

“Saya tiada masalah dengan peraturan ini kerana ia demi kebaikan semua.

“Kalau di pasar pagi ini memang ramai orang pada hari operasi dijalankan, oleh itu, saya tidak kisah sekiranya sistem ini terus dikekalkan,” tambahnya lagi.

Astro AWANI akan mendapatkan reaksi balas daripada Majlis Daerah Kapit susulan keresahan yang diajukan oleh golongan peniaga ini.