SIBU: Dua minggu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, bendera serta panji-panji parti mula membanjiri kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipasang dalam pelbagai saiz mengikut kreativiti jentera masing-masing.

Namun adakah perang bendera ini adalah senjata paling ampuh untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk memilih siapakah calon yang paling layak untuk memimpin kawasan DUN berkenaan?

Bagi penyandang DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee, dalam pilihan raya, perang psikologi ini hanya sebagai sorakan pemberi semangat kepada para penyokong sekaligus mendorong lebih ramai masyarakat untuk turun mengundi.

“Perperangan bendera ini hanya sebagai satu suntikan semangat kepada rakyat dan ia adalah tradisi semasa pilihan raya, jika kita tidak memasang bendera, penyokong mungkin akan kurang bersemangat untuk berkempen,” katanya kepada pemberita di Taman SeleraHarmoni, pada Sabtu.

Jelas Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, apa yang paling penting baginya ialah seseorang calon mesti mempunyai ‘report card’ pencapaian dan perkhidmatan yang mereka telah laksanakan sepanjang lima tahun berkhidmat.

Sebagai kerajaan atau pembangkang, ‘report card’ inilah bukti yang boleh dijadikan panduan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan menentukan siapakah yang akan mewakili suara mereka untuk satu penggal lagi.

“Untuk pecutan terakhir ini, saya mengedarkan report card saya agar masyarakat tahu apa yang telah saya laksanaakan selama lima tahun lalu yang diagihkan melalui bahan cetakan ataupun secara dalam talian.

“Semasa pilihan raya ini, calon mesti duduk dan bertemu dengan masyarakat kerana inilah satu cara yang paling penting dalam kempen pilihan raya walaupun PRN12 kali ini yang paling berbeza sepanjang perkhidmatan saya sebagai ADUN,” katanya.

“Saya bukan terlebih yakin, tetapi berlandaskan kepada perkhidmatan saya kepada masyarakat, cara saya mendekati mereka insha Allah kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

Pada PRN Ke-11 Sarawak, Dr Annuar menang besar di DUN Nangka dalam pertandingan tiga penjuru dengan 9,617 undi sekaligus menewaskan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Raafidin Majidi dan wakil Parti Reformasi Negeri (STAR), Siomon Tiong.

Kerusi N49 Nangka adalah satu-satunya kerusi majoriti Bumiputera di bandar Sibu yang diwakili wakil rakyat PBB.

PRN12 kali ini akan menyaksikan sekurangnya perlawanan tiga penjuru di DUN Nangka antara calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Intanurazean Wan Sapuan Daud dan Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Raafidin Majidi.