KUALA LUMPUR: Permohonan undi pos secara dalam talian bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 telah dibuka bermula 8 November sehingga 24 November depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan, berkata permohonan undi pos tersebut adalah untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) sahaja.

Bagaimanapun, katanya permohonan untuk undi pos kategori Borang 1A  iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera, dan petugas media)akan dimaklum kelak.

“Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang MySPR Daftar di pautan berikut https://mysprdaftar.spr.gov.my/ atau di portal rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my/.

“Pemohon dinasihatkan agar membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin menambah, sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Unit Pengurusan Undi Pos (UPUP) di talian 03-88927080 atau emel kepada [email protected].

DUN Sarawak terbubar pada 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.