MALAYSIA
Profesion kewartawanan: Apa jadi dengan Majlis Media Malaysia?

Majlis media dapat meningkatkan kapasiti bidang wartawan melalui pelaburan dalam industri media dan meningkatkan kebajikan wartawan, termasuk memastikan gaji dan faedah yang setimpal. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan mengenai pendirian dan cadangan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia yang sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan.
Pengarah Komunikasi Research for Social Advancement (REFSA) Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, penubuhan badan itu mampu mengukuhkan industri media, memastikan integriti profesion kewartawanan, selain mengharungi era polarisasi yang dipacu media sosial.
Jelas beliau, pengamal media ketika ini berdepan cabaran di mana orang awam lebih 'mempercayai' maklumat yang disebarkan melalui platform media sosial.
"Majlis media dapat meningkatkan kapasiti bidang wartawan melalui pelaburan dalam industri media. Cara ini juga dapat meningkatkan kebajikan wartawan (termasuk) memastikan gaji dan faedah yang setimpal."
Raja Ahmad berkata demikian kepada Astro AWANI sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, hari ini.
Selain itu, katanya, majlis media juga diperlukan bagi menjamin keselamatan wartawan itu sendiri.
"Misalnya, insiden di UTC (Pusat Transformasi Bandar) di mana wartawan telah dihalau keluar ketika membuat laporan berkenaan isu kelewatan mendapatkan pendaftaran di UTC," kata beliau memberi contoh.
Mengulas lanjut, Raja Ahmad berpandangan, kesedaran di peringkat awam perlu dipertingkatkan dengan mempromosikan literal media dan digital agar masyarakat lebih cakna berkenaan isu maklumat palsu.
Begitu juga, katanya, reformasi berstruktur terhadap beberapa akta sedia ada perlu dilakukan bagi mengetengahkan peranan wartawan sebagai 'The Guardians of Truth' dalam era demokrasi yang dihimpit penyebaran berita tidak benar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami