KUALA LUMPUR: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) menyaksikan sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 103,000 pengunjung sepanjang empat hari program tersebut berlangsung.

Program yang melibatkan penyertaan semua kementerian dan agensi itu berjaya menarik perhatian banyak lapisan masyarakat susulan pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, antara perkhidmatan diberikan ialah penerangan servis ditawarkan kerajaan, perkhidmatan insolvensi, permohonan skim kredit, kaunseling kewangan, sesi bimbingan dan khidmat nasihat usahawan.

"Meneruskan lagi momentum dan kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia, penganjuran pelbagai program dan inisiatif seumpama ini juga akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri.

"Ia diadakan melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama untuk Keluarga Malaysia di seluruh negara.

"Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi YAB Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumusan, Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah Perdana 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di sini pada Ahad.

Tambah beliau, sebanyak 26 buah reruai kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta 102 jualan gerai usahawan termasuk aktiviti seperti pameran Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia dan Diskaun Saman disediakan dalam program itu.

"Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia telah menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan. Seramai 3,628 peserta daripada 4,005 orang peserta berdaftar telah dipanggil menghadiri temu duga dan lebih 2,690 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini.

"Program Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia pula telah memberi peluang kepada pengunjung terutamanya lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa yang hadir.

"Ia membantu mereka mendapatkan maklumat, mendapatkan tawaran secara langsung untuk memasuki program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan  Institut Pengajian Tinggi (IPT)," ujarnya

Selain itu, kata beliau, mereka turut menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan pelbagai bantuan lain.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang menghimpunkan semua kementerian dan agensi diadakan selama empat hari, bermula pada 9 Disember lepas dan tamat pada 12 Disember 2021.