MALAYSIA
Program eHati: Enam ditahan, 282 peserta dikenal pasti - JAIS

JAIS juga telah mengenal pasti lebih kurang 282 orang peserta yang menyertai program tersebut untuk diambil rakaman percakapan.
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan enam orang yang disyaki terlibat dalam penganjuran Program Motivasi Rumah Tangga eHati yang diadakan pada 27 hingga 30 September tahun lalu di Shah Alam, Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata penahanan dibuat pada 18 Julai lalu melibatkan dua lelaki dan empat wanita, berumur antara 26 hingga 47 tahun di Shah Alam.
“Semua orang yang disyaki, yang ditahan telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Sehingga kini, JAIS telah dan sedang merakam percakapan 38 orang saksi bagi membantu siasatan.“JAIS juga telah mengenal pasti lebih kurang 282 orang peserta yang menyertai program tersebut untuk diambil rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
Jelas beliau, sebanyak tiga buah buku dan tiga keping cakera padat video (VCD) yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.
Mohd Shahzihan menambah, kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), dan Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam).
“Selain itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” ujar beliau.
Katanya, siasatan menyeluruh dilakukan merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan oleh pihak penganjur.
Menurut Mohd Shahzihan, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami