GEORGE TOWN: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi Program empowerNCER Akademik berjaya membantu pelajar lemah dari kumpulan B40 mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan dalam kenyataan semalam berkata 95 peratus daripada 3,400 pelajar yang mengikuti program itu lulus SPM dan ia telah dilaksanakan di 30 daerah meliputi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan program tersebut memberi impak yang besar kepada pelajar dalam mencatatkan keputusan lebih baik, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran.

"NCIA komited untuk bantu pelajar-pelajar ini khususnya daripada kumpulan B40 untuk berjaya pada masa depan untuk meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya membantu keluarga untuk keluar dari zon kemiskinan," katanya.

Mohamad Haris berkata NCIA bekerjasama dengan Yayasan PETRONAS dan empat universiti yang bertindak sebagai pelaksana iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL).

Salah seorang peserta program Sira Suhari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di Kampung Orang Asli Bawong, Perak, berkata beliau berjaya melonjakkan keputusan kepada 5A berbanding tiada A semasa peperiksaan percubaan.

Justeru gadis itu berharap pihak NCIA dapat meneruskan program tersebut supaya dapat membantu lebih ramai pelajar Orang Asli.

Sementara itu, Mohammad Alif Haikal Muhammad Radzi dari SMK Permatang Bonglai, Kubang Pasu, Kedah berjaya mencatatkan 5A meskipun gagal lima subjek berkenaan dalam peperiksaan sebelum itu.

"Kelas tuisyen daripada program empowerNCER Akademik telah membantu saya mendapat keputusan yang baik bagi merealisasikan impian untuk menjadi akauntan pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA