Program ‘Gate to Global’ gerbang usahawan bumiputera ke pentas antarabangsa

Usahawan tempatan terutama yang berada di luar bandar perlu berusaha serta bersedia meningkatkan kualiti produk dan perniagaan masing-masing untuk menembusi pasaran antarabangsa, kata Abdul Kahar.
SHANGHAI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan 16 usahawan yang turut serta di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) @ Shanghai dapat memasarkan produk mereka ke pasaran halal yang amat besar di China kerana mereka mempunyai produk yang berkualiti dan sedia untuk eksport.
Usahawan tempatan terutama yang berada di luar bandar perlu berusaha serta bersedia meningkatkan kualiti produk dan perniagaan masing-masing untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah, terdapat pelbagai kualiti perlu dicapai oleh usahawan yang berhasrat mengetengahkan produk mereka di luar negara.
Jelasnya, ia termasuk mempunyai sijil halal, sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan kapasiti pengeluaran mencukupi.
Abdul Kahar berkata, tiga usahawan tempatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian dengan syarikat pengedar atau pembeli dari China dengan nilai jualan berjumlah RM55.5 juta melibnatkan produk seperti sarang burung, makanan Kesihatan dan rempah perencah.
Antara syarikat berkenaan ialah Blue Sky Bird Nest Sdn Bhd, Zinon Food Industry Sdn Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd
“KKDW mahu membantu meningkatkan status usahawan luar bandar sekali gus membuktikan mereka juga berupaya untuk bersaing di persada dunia,” katanya ketika ditemui media di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS@Shanghai 2025) di China.
Ia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk meluaskan pasaran produk halal negara melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dan sesi padanan perniagaan dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
Bagi pameran antarabangsa itu, KKDW menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM150 juta.
Berlangsung di National Exhibition & Convention Centre (NECC), MIHAS @ Shanghai 2025 dianjurkan dari 5 hingga 10 November 2025.
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada Khamis lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


