Program suntikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) bagi mencegah kanser serviks dalam kalangan pelajar perempuan berusia 13 tahun di Malaysia, adalah aktiviti yang relevan.

Jurnal Pencegahan Kanser Asia Pasifik menyatakan seramai 12 daripada 38 orang atau 34 peratus wanita Malaysia dikesan positif jenis kanser berkaitan HPV, demikian menurut Kementerian Kesihatan.

"Ini adalah perkadaran yang besar bagi 10 juta wanita Malaysia yang berusia 20 tahun dan ke atas. Justeru itu, ia menjadikan program suntikan vaksin HPV lebih relevan," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, pada hari Sabtu.

Pada Rabu lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula program suntikan vaksin HPV untuk mencegah kanser serviks dalam kalangan pelajar perempuan berusia 13 tahun, yang bermula pada 2010.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata vaksin Gardasil dan Cervarix yang digunakan pada masa ini hanya mampu melindungi empat daripada 40 jenis HVP yang berkaitan dengan kanser.

Kementerian Kesihatan menyatakan HPV16 dan HPV18 bertanggungjawab bagi 70 peratus daripada kanser servikal di seluruh dunia dan ini konsisten dengan hasil penemuan di Malaysia yang mencatatkan 74 peratus.

"Sehubungan itu, program vaksin HPV dijangka mengurangkan berlakunya kanser servikal sebanyak 70 peratus. Sebanyak 30 peratus lagi kanser servikal mungkin disebabkan faktor lain seperti subjenis HPV, perlakuan seksual, pengambilan pil pencegahan kehamilan dan merokok," kata kementerian.

Ia juga menjelaskan bahawa perlindungan daripada HPV16 dan HPV18 akan mengambil masa yang lebih lama dan bukan hanya empat tahun iaitu dari usia 13 hingga 17 tahun seperti yang dinyatakan SM Mohamed.

"Pemeriksaan susulan 10 tahun terhadap kohort populasi wanita yang menerima tiga dos vaksin HPV menunjukkan mereka masih lagi dilindungi daripada HPV16 dan HPV18.

"Kohort pertama pelajar perempuan yang mengambil vaksin itu pada 2010 kini berusia 17 tahun menunjukkan mereka masih lagi dilindungi daripada jangkitan HPV dan ia boleh melewati usia boleh berkahwin," kata Kementerian Kesihatan.

Sejak 2010, sejumlah 2,778,055 dos vaksin HPV telah disuntik terhadap 927,007 remaja perempuan berusia 13 tahun dan hanya 0.01 peratus sahaja melaporkan mengenai kesan sampingan.

"Kebanyakan kesan sampingan adalah berkaitan kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan. Sejak 2010, tidak ada laporan mengenai kesan sampingan serius berkaitan vaksin HPV," kata kementerian.