KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) melalui dua program bimbingannya telah berjaya melonjakkan hasil keseluruhan 55 usahawan sebanyak RM1.56 juta selepas empat bulan.

Dua program berkenaan adalah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Homestay dan Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata ilmu keusahawanan dan kemahiran perniagaan yang diberi melalui kaedah bimbingan selama empat bulan mulai September hingga Disember tahun lepas telah membantu meningkatkan hasil jualan mereka.

"Program sokongan seperti IBBC dan BBEP ini dilengkapi dengan latihan dan bimbingan secara holistik serta dipantau bagi memastikan skala kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang," beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi sebelum itu merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7, 2020 di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau menyeru para usahawan untuk terus menuntut ilmu keusahawanan agar dapat memajukan perniagaan serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Program IBBC dan BBEP telah berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan apabila 50 peratus daripada peserta IBBC Homestay serta 52 peratus daripada peserta BBEP Kohort 7, 2020 dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan masing-masing di antara 20 peratus hingga melebihi 100 peratus.

-- BERNAMA