KUALA KANGSAR: Lebih 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam program Jerlun, Perak Job Carnival 2022 yang dianjurkan bermula hari ini, di Kampung Baharu Jerlun, di sini.

Program yang julung kali dianjurkan itu bertujuan memberi peluang kepada anak jati Perak, khususnya di dalam bidang profesional dan tenaga kerja am.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, karnival berkenaan dianjurkan Zurich Infrastructure Sdn Bhd, syarikat tempatan yang bakal menjayakan satu projek infrastruktur baharu di negeri ini.

Menurutnya, Kampung Baharu Jerlun dipilih sebagai lokasi utama karnival, bersesuaian dengan salah satu laluan lebuh raya baharu yang dicadangkan dibina di Perak.

"Jerlun merupakan satu daripada cadangan untuk kawasan rehat dan rawat (RnR), atau interchange kepada West Ipoh Span Expressway (WISE) dari Gopeng ke Kuala Kangsar, yang dimulakan di sini.

"Karnival ini dianjurkan Zurich Infrastructure, kontraktor utama kepada lebuh raya WISE," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jerlun, Perak Job Carnival 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Zurich Infrastructure Ahmad Sahill Zainal Abidin.

Sementara itu, Ahmad Sahill berkata, pihaknya berhasrat memastikan semua kerja pembinaan projek baharu itu dapat dijayakan seratus peratus oleh tenaga kerja anak tempatan.

"Buat masa sekarang cadangan projek (WISE) masih lagi dalam proses perbincangan. Jadi agak terlalu awal untuk saya boleh kata bilakah ia akan bermula.

"Tawaran pekerjaan yang kita disediakan secara holisitik, membabitkan tenaga kerja am dan profesional.

"Alhamdulillah sambutan amat baik, ada datang walk-in seawal jam 6.30 pagi," katanya.

Karnival itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Jun.

Sesi temuduga secara walk-in bermula jam 7 pagi hingga 4 petang.

Tinjauan di karnival itu mendapati ramai yang datang dari dalam dan luar Perak, di samping sambutan yang cukup menggalakkkan.

Rozaliana Ramli, 46 tahun, dari Ipoh, berkata dia hadir bersama rakan yang juga mahu mencari peluang pekerjaan lebih baik.

"Saya dapat tahu tentang karnival ini sebab ada saudara yang memanjangkan mesej mengenainya melalui Whatsapp sebulan lalu.

"Sambutan hari ini memang meriah, lagi pun karnival seperti ini memudahkan orang ramai," katanya yang ketika ini bekerja sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat di Ipoh. 

Seorang lagi pencari kerja, V Shativel, 36 tahun, jurutera awam di Kuala Lumpur, berkata dia memilih untuk hadir ke karnival ini memandangkan mahu mencari pekerjaan di Perak.

Katanya, dia sudah bermastautin selama 13 tahun di Kuala Lumpur, namun isteri, anak dan ibu bapanya menetap di Ipoh.

"Kebanyakan yang datang sini boleh dapat pendedahan tentang kerjaya. Saya kerja di Kuala Lumpur tetapi asal dari Ipoh.

"Saya datang dengan ayah ke sini, harapnya boleh dapat peluang kerja baharu sebagai jurutera di sini," katanya.

Karnival itu turut menyaksikan kehadiran nama-nama syarikat gergasi seperti Sime Darby Industrial Sdn Bhd dan syarikat pembinaan antarabangsa Freyssinet.