Ketibaan tahun baharu 2020 disambut dengan kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat yang melimpah ruah dikurniakan kepada negara tercinta, dengan beberapa masjid dan surau menyambut detik-detik tahun baharu penuh keinsafan dan memohon keredaan Allah SWT.

Sambil memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, umat Islam dinasihati tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang, syariat dan akhlak sebagai Muslim.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Qalam Mufti #59 bertajuk "Sambut Tahun Baharu, Inilah Nasihat Kami' pada Selasa berkata, sebagai Muslim, umat Islam seharusnya mengisi masanya dengan perkara berfaedah dengan menghadiri program bermanfaat, bukannya hiburan semata-mata.

"Mengelakkan diri menghadiri majlis-majlis sambutan yang mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti hidangan arak, pergaulan bebas lelaki perempuan dan hiburan melampau yang melalaikan. Sesungguhnya seorang Muslim akan sentiasa memelihara dirinya daripada apa jua yang melalaikan.

"Tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar undang-undang, syariat dan akhlak seorang muslim seperti vandalisme, membuang sampah merata tempat, gangguan terhadap orang lain dan seumpamanya," kata beliau.

Dalam mengimarahkan malam sambutan tahun baharu, beberapa masjid di ibu kota menganjurkan forum dan kuliah buat umat Islam selepas solat Maghrib.

Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Forum Khas Ambang Tahun Baharu dengan menjemput dua anggota panel masing-masing Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail dan Timbalan Mufti Negeri Melaka Hazarudin Baharuddin.

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pula mengadakan kuliah Maghrib yang disampaikan Ketua Imam masjid tersebut Yahya Mahyuddin.

Ribuan orang memenuhi Dataran Putrajaya bagi menyambut Ambang Tahun Baharu 2020 serta Majlis Penutup Festival Light and Motion Putrajaya dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya, malam tadi. -- fotoBERNAMA

Sementara itu, di Negeri Sembilan, Masjid Sri Sendayan di Seremban mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Geng Masjid Ambang 2020 yang berlangsung selama empat hari bermula Sabtu lepas.

Kemuncak karnival itu berlangsung Grand Forum Geng Masjid Ambang 2020 yang berlangsung lebih dua jam bermula 9 malam dengan penceramah Ustaz Don Daniyal, Imam Muda Asyraf, Ustaz Syamsul Debat berbicara mengenai isu-isu keagamaan dan kemaslahan ummah serta dan isu semasa.

Ribuan jemaah menghadiri forum berkenaan yang diadakan di pekarangan masjid itu.

Antara program yang diadakan sejak Sabtu lepas ialah kursus umrah percuma, usrah keluarga sunnah oleh Pencetus Ummah Rahmat dan Ustazah Asma Harun, forum Kongsi Rezeki Bersama Imam Muda Nazrul, Sendayan Berselawat serta demonstrasi masakan.

Selain itu, program potong rambut percuma, wayang pacak, pertandingan azan, gusti, dan mewarna turut menyerikan lagi karnival berkenaan selain terdapat 100 gerai jualan.

Percikan bunga api menghiasi ruang udara pusat bandar Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baharu 2020 malam tadi. --fotoBERNAMA

Di SELANGOR, alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bergema pada majlis sambutan ambang tahun baharu di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Alunan selawat yang diketuai oleh kumpulan Shouqie Junior, disertai ribuan hadirin yang terdiri daripada warga bandar ini dan sekitarnya.

Sambutan ambang tahun baharu berkenaan dihadiri oleh Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Solat hajat sempena ambang tahun baharu 2020 itu diimamkan Imam Masjid Abidin (Masjid Negeri), Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim dan disertai kira-kira 500 jemaah.

Selepas solat hajat itu, Wan Mohd Hazim turut membacakan doa sempena ketibaan 2020 yang antara lain memohon kesejahteraan negeri dan rakyat Terengganu.

-- BERNAMA