MEKAH: Program Kebersihan Masya'ir bakal mengukuhkan keakraban dalam kalangan jemaah haji Malaysia dan memberi impak positif kepada imej negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata program berkenaan telah dilaksanakan sejak 2017 semasa jemaah berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Katanya, aktiviti selama empat hari itu akan melibatkan semua jemaah, petugas Lembaga Tabung Haji (TH) dan muassasah.

"Program kebersihan turut dilakukan di kawasan penginapan masing-masing dan ia sentiasa mendapat pujian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Usaha gigih jemaah haji Malaysia dan disiplin selalu disebut dalam mana-mana persidangan antarabangsa, malah jadi model pada negara lain.

"Kita harap momentum ini dikekalkan sampai bila-bila kerana ia selari dengan Islam, kaedah dan tertib kita di bumi barakah ini... antaranya akhlak dan disiplin yang terbaik bersama penjagaan kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebersihan Masya'ir di Hotel Land Premium, di sini.

Selain itu ketika berucap di hadapan jemaah Malaysia, Idris berkata kempen berkenaan dapat menjadi suatu penanda aras terbaik bagi jemaah haji Malaysia pada masa akan datang serta menjadi ikutan negara Islam lain.

"Saya menyeru kepada semua jemaah haji Malaysia pada tahun ini agar dapat memberikan sepenuh kerjasama kepada Tabung Haji bagi memberi kelancaran serta kejayaan Program Kebersihan Masya'ir.

"Esok semua akan berwukuf di Arafah yang dijadualkan jatuh pada Jumaat. Saya berharap agar kesemua jemaah haji mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi kemuncak ibadat haji ini," katanya.

Beliau sempat menasihatkan agar mereka terus saling bantu membantu, dan mengambil berat dengan semangat Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA