Skip to main content

Malaysia

Program MADANI Kita buka ruang interaksi kerajaan, rakyat secara langsung - J-KOM

GOPENG, 20 Sept - Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir bagi mendapatkan barang keperluan sempena Program MADANI Kita di Dewan Bandaran Gopeng hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir bagi mendapatkan barang keperluan sempena Program MADANI Kita di Dewan Bandaran Gopeng hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

GOPENG: Program MADANI Kita (PMK) menjadi platform interaksi secara bersemuka yang membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat serta penjelasan secara langsung, di samping memberikan ruang kepada kerajaan mendengar dan memahami persoalan serta keperluan rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Kafrawi Ridzuan Tarmizi berkata pendekatan itu bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan bukan sahaja disampaikan kepada rakyat tetapi turut difahami serta dirasai manfaatnya dalam kehidupan seharian.

“J-KOM mempunyai peranan strategik sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, termasuk memastikan komunikasi tidak bergerak dalam satu arah sahaja, sebaliknya turut memberikan ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan dan persoalan kepada kerajaan.

“Komunikasi yang berkesan bukan sekadar memastikan maklumat sampai kepada rakyat, tetapi turut membolehkan masyarakat berasa didengar, difahami dan diberikan perhatian terhadap isu yang dihadapi,” katanya 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada PMK Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja 2026 di Dewan Bandaran Gopeng, di sini hari ini.

Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Sandrea Ng Shy Ching.

Dalam pada itu, Kafrawi berkata kekuatan PMK turut terletak pada kerjasama rentas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang membolehkan rakyat mendapatkan pelbagai maklumat serta perkhidmatan dalam satu platform tanpa perlu melihat isu kehidupan mereka mengikut sempadan kementerian.

“Pendekatan itu selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan bahawa kesejahteraan perlu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat, memberikan nilai kepada komuniti dan membina keyakinan terhadap pembangunan negara.

Menyentuh mengenai program hari ini, beliau berkata warga DUN Teja dan Parlimen Gopeng perlu memanfaatkan sepenuhnya PMK dengan mendapatkan maklumat serta perkhidmatan yang diperlukan, mengemukakan pandangan dan menyampaikan isu setempat kepada kementerian serta agensi berkaitan.

Beliau berkata keterlibatan masyarakat dalam program seumpama itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan mengambil kira keadaan serta keperluan sebenar pada peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement