Program pencegahan penyalahgunaan dadah tidak gagal mencapai objektifnya.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, menegaskan banyak pendekatan diambil AADK bersama agensi-agensi lain dalam menangani penyalahgunaan dadah.

Namun, Zulkifli mengakui agensi tersebut menghadapi banyak kekangan dalam membasmi masalah penagihan dadah, termasuk kekurangan peruntukan.

"Kami mengalami banyak kekangan terutamanya kekurangan peruntukan.

"Terdapat juga kekurangan tenaga pengajar di pusat-pusat pemulihan dan banyak pusat pemulihan yang sedia ada pun sudah lama.

"Namun begitu, saya tidak jadikan ia sebagai alasan. Kekangan ini harus kita hadapi dan kami akan bertemu dengan pihak kerajaan untuk melihat jenis bantuan yang boleh dihulurkan.

"Apa yang pasti adalah kerajaan dan masyarakat tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan," kata Zulkifli ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Program pencegahan dadah kurang berkesan- TPM Wan Azizah

Oleh itu, beliau berkata sistem sokongan keluarga, komuniti dan juga peluang pekerjaan memainkan peranan penting dalam memastikan penagih yang keluar dari pusat pemulihan tidak kembali dan menjadi penagih berulang.

"Sistem sokongan yang diberikan tidak cukup kukuh setelah penagih ini keluar dari pusat pemulihan. Tidak ramai majikan yang sanggup memberikan pekerjaan kepada mereka.

"Pihak kami berhasrat untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat tertentu supaya mereka memberi peluang pekerjaan kepada bekas-bekas penagih.

"Ini yang kita boleh yakinkan mereka ini harus diberi peluang untuk bekerja. Kalau tidak, mereka akan kembali kepada rakan-rakan lama dan akan mula balik dengan tabiat menagih dadah. Jadi perkara itu akan berulang," tambahnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata jumlah penagihan dadah yang mencecah lebih 25,000 kes membuktikan program pencegahan dadah kurang berkesan.