KUALA NERUS: Syarikat Terengganu Incorporate (TI) menjadi syarikat korporat pertama yang akan mendapat inisiatif potongan cukai pendapatan melalui pelaksanakaan program Pendidikan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia menerusi satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan iaitu Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang pada 22 hingga 24 Mei 2023.

Program berkenaan menerusi kolaborasi SPRM Terengganu serta beberapa agensi serta universiti tempatan dalam usaha memperkasakan pendidikan integriti dan antirasuah.

Menerusi kenyataan SPRM pada Rabu, kerjasama melalui program CSR itu membolehkan syarikat swasta untuk mendapatkan potongan cukai melalui kelulusan Kementerian Kewangan sebelum ini.

Pelaksanaan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini membolehkan syarikat swasta mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Berdasarkan peruntukan itu, syarikat swasta layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Insentif pelepasan cukai tersebut dilihat dapat menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan SPRM melaksanakan program pencegahan dan pendidikan antirasuah.

Program pencegahan serta pendidikan antirasuah yang dilaksanakan oleh syarikat swasta menerusi penganjuran program CSR ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah, bukan hanya kepada kakitangan syarikat itu sendiri.