KUALA LUMPUR: Jemaah haji Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) menerima sumbangan bernilai lebih RM6.4 juta menerusi Program Sahabat Haji TH bagi membantu persediaan keperluan musim haji 1447H/2026M yang lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, sumbangan tersebut disalurkan oleh 29 buah syarikat korporat dan sektor swasta dalam usaha meningkatkan kebajikan serta keselesaan jemaah di Tanah Suci.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyatukan sokongan pelbagai pihak, malah mencerminkan semangat solidariti nasional dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu Allah SWT.
"Saya yakin Program Sahabat Haji ini banyak membantu jemaah haji kita, khususnya untuk meringankan kos kewangan dalam menyediakan barangan keperluan ke Tanah Suci," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1447H dan Penghargaan Sahabat Haji 2026 di Ibu Pejabat TH, di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel R. Alahmadi; Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia 1447H Mohd Hisham Harun.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kelancaran operasi haji lalu turut didorong oleh pelbagai inisiatif penambahbaikan dan inovasi baharu.
Antaranya termasuk proses serahan pasport secara digital melalui integrasi sistem TH dan Jabatan Imigresen (myNIISe), talian khidmat khas pengurusan jemaah di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH), penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi e-TAIB, bas ulang-alik percuma di Mekah, inisiatif Haji Lestari serta penaiktarafan fasiliti di Masya'ir.
Kecekapan pengurusan itu membolehkan TH merekodkan Indeks Kepuasan Pelanggan Jemaah Haji melebihi 90 peratus bagi musim 1447H/2026M, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 85 peratus.
Pencapaian cemerlang tersebut turut membolehkan TH mempertahankan pengiktirafan berprestij Anugerah Labaytum Diamond buat tahun kedua berturut-turut.
Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan bahawa persiapan bagi Operasi Haji Musim 1448H/2027M kini telah pun dimulakan lebih awal dan sedang giat digerakkan selaras dengan garis masa Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kerajaan dan TH kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah serta Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia atas kerjasama padu menjayakan urusan visa dan inisiatif Makkah Route.